UTARA
ARKIB : 10/01/2009
Kucai dalam pasu bantu Sarina
BALING 9 Jan. - Jika disebut nama Allium Tubarosa Rottler tentu ramai yang tidak mengetahuinya, jauh sekali menyedari tanaman itu rupa-rupanya lebih dikenali di negara ini sebagai kucai.
Tanaman daripada keluarga Liliacea itu cukup popular khususnya di kalangan masyarakat Melayu kerana ia menjadi penyedap makanan seperti cucur udang dan mihun goreng selain mempunyai khasiat tersendiri.
Itulah kucai, sayur penting walaupun asalnya tanaman yang mudah diperoleh dan paling banyak ditanam di pinggir rumah.
Pun begitu, bagi Sarina Che Bai, 38, dari Kampung Keda Ulu Bakai, Mukim Bakai dekat sini, tanaman tersebut menjadi pilihan untuk ditanam di kawasan rumah yang didiami.
Menariknya, Sarina tidak sebagaimana kaum hawa lain menjadikan pasu hanya untuk tanaman bunga, tetapi dia menanam kucai yang subur menghiasi laman rumahnya.
Wanita yang mempunyai lima orang anak itu berkata, daripada 20 hingga 50 pasu kucai, dia memperluaskan lagi tanaman tersebut dari masa ke semasa.
Kata Sarina, berkat usahanya itu mendapat perhatian pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk membantunya menambah tanaman kucai di dalam pasu.
Hasilnya, kini tanaman kucai Sarina telah mencecah hampir 1,000 pasu sehinggakan tidak ada lagi ruang kosong di sekeliling rumahnya.
Menurut Sarina, dia dan keluarganya mengusahakan tanaman kucai itu sejak enam tahun lalu, pada mulanya hanya sekadar untuk dijadikan sumber sayur -sayuran harian.
Tambahnya, kucai yang ditanamnya dijual dengan harga RM4 sekilogram dan pada musim tertentu dia menghasilkan antara lima hingga 10 kilogram kucai sehari.
Isteri kepada Mohd. Zainol Jaafar, 50, itu seakan tidak mempercayai usaha menanam kucai ini berjaya menarik perhatian penduduk lain dan peniaga runcit yang sering datang membeli hasil tanamannya.
Ia membantu keluarga Sarina menambah sumber pendapatan walaupun ramai yang pada mulanya tidak yakin usaha tersebut akan berhasil.
Sarina kini menumpukan sepenuhnya kepada tanaman kucai dan bukan lagi
menjadikannya sebagai tanaman sampingan, malah pendapatan diperoleh hasil daripada tanaman tersebut mencukupi untuk menampung keluarga.
1 comment:
tanam kucai pun boleh senang sikit ye pol?ni ha URL baru aku
http://conspiracylayanblues.blogspot.com/
Post a Comment