Mukadimah tahun baru 2008 dibuka dengan berita sensasi senario politik negara yang melibatkan rakaman cakera video digital (DVD) skandal seks Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan seorang wanita. Ramai yang melihat keadaan ini sebagai suatu tamparan hebat kepada parti BN, khususnya di saat-saat pilihan raya yang semakin hampir. Naib Presiden MCA itu telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau adalah orang yang terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita yang diakuinya sebagai 'kawan baik'. Salinan DVD perlakuan seks itu sebelum ini diedarkan secara meluas di Johor, khususnya di Batu Pahat dan Muar. Bagaimanapun, di sebalik pengakuan terbuka tersebut, Menteri Kesihatan itu menegaskan, beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti [UM 01/01/08]. Namun, sehari selepas itu, Chua Soi Lek telah mengumumkan peletakan semua jawatannya sama ada di dalam kerajaan mahupun dalam MCA. Ini adalah kes yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana seorang menteri mengaku mengadakan hubungan seks luar nikah (berzina) secara terbuka. Kisah skandal seks di kalangan menteri atau pun orang-orang politik bukanlah suatu yang baru di Malaysia, tidak kiralah samada ia melibatkan orang Islam atau bukan Islam. Sebab itulah kisah Chua Soi Lek ini, walaupun agak menggemparkan, tidaklah memeranjatkan. Apa yang 'baru' di sini ialah pengakuan secara terbuka yang dibuat oleh Soi Lek. Juga, suatu yang baru apabila ramai penyokong Soi Lek yang memberikan sokongan dan dorongan kepada beliau, malah beliau dilayan sebagai seorang 'hero' kerana pengakuannya ini. UMNO bahagian Labis awal-awal lagi turut serta dalam memberi semangat dan sokongan padu kepada beliau, diikuti pula oleh tidak kurang ramainya ahli-ahli politik BN, termasuk menteri yang memuji tindakan berani Soi Lek ini. Masya Allah! Seorang penzina yang telah mengaku secara terang-terang melakukan perbuatan kejinya, kini dianggap dan dilayan sebagai seorang hero, hanya kerana 'pengakuan ikhlas dan berani' yang dibuatnya. Di manakah pertimbangan manusia, khususnya mereka yang beragama Islam di dalam masalah ini? Ada juga di kalangan umat Islam yang melihat bahawa isu ini hanyalah satu kesalahan moral atau kesalahan peribadi orang yang terlibat kerana apa yang dilakukan oleh Soi Lek (berzina) itu 'dibolehkan' oleh agamanya (tidak ada hukuman). Pandangan ini sejajar dengan pandangan Perdana Menteri Malaysia yang menyifatkan '...apa yang berlaku adalah berkaitan (hal) peribadi beliau' [UM 02/01/08]. Pengakuan zina, tidak kiralah dilakukan oleh siapa pun, baik seorang menteri atau pun rakyat, baik lelaki ataupun perempuan, baik Muslim ataupun non-Muslim, adalah satu perkara yang wajib diperhatikan oleh setiap Muslim, apatah lagi pemerintah. Dalam pandangan Islam, zina adalah satu perbuatan yang keji dan merupakan satu kesalahan yang wajib dihukum (hudud), tidak kiralah pelakunya seorang yang berpangkat besar atau kecil atau seorang yang tidak berpangkat sekalipun. Pemerintah malah wajib memerhatikan hal ini dengan lebih serius kerana mereka adalah orang yang sepatutnya menjalankan hukum (hudud) ke atas penzina ini. Malangnya pemerintah hanya menganggap kes zina ini adalah kesalahan moral ataupun hal peribadi sahaja! Sebahagian besar umat Islam juga mempunyai tanggapan dan pemahaman yang salah tentang (hukuman) zina yang dilakukan oleh orang kafir, sehingga mereka tidak memandang kes ini wajib diselesaikan dengan hukum Islam. Sautun Nahdhah kali ini akan menjernihkan pemikiran mereka yang telah terpesong dari kefahaman yang sebenar menurut Islam. Apakah Orang Kafir Terkena Hukum Islam? Persoalan sama ada orang kafir terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak pernah timbul dalam benak kaum Muslimin generasi awal mahupun generasi setelahnya. Kaum Muslimin dahulu benar-benar faham bahawa satu-satunya hukuman yang wajib ke atas manusia adalah hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan Maha Menghukum. Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam berabad-abad lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah kuffar, maka di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem kufur/sekular penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, pemimpin sekular yang telah dilantik oleh kuffar penjajah ini tetap meneruskan undang-undang kufur penjajah di samping sedikit penerapan undang-undang Islam dalam hal ibadat dan kekeluargaan sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah golongan ulama telah terbiasa dan 'terbius' dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala orang-orang kafir dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir. Betapa terpesongnya pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap terpakai ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak boleh dikenakan undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang ada terus 'dikuasai' oleh pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas orang-orang kafir, bukan setakat kerana ia tidak terpakai, malah tidak boleh dilaksanakan kerana perlu 'menjaga hati' orang kafir. Inilah di antara kejayaan kuffar Barat di dalam memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat Islam. Setelah sistem demokrasi-pilihan raya diperkenalkan oleh Barat ke atas negeri-negeri umat Islam dan setiap orang kafir diberi hak mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan ulama Islam terjerat sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan, mereka mesti mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka 'hati' orang kafir perlu dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam, maka usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir bahawa undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka. Jadi, tidak hairanlah jika ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun sayangkan Islam, namun oleh kerana sudah lama hidup dalam sistem sekular di mana racun ini sudah menjadi sebati dalam diri mereka, memahami bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam semata-mata, manakala orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi alternatif. Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta'zir hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman Allah, "Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil" [TMQ al-Maidah (5):42]. Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima hukum hudud, qisas dan ta'zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum mereka (hukum kufur). Lafaz "fa in ja'uka fahkum bainahum au a'ridh anhum" (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai 'pilihan' yang diberi kepada 'orang kafir' sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orang kafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum Islam. Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri, kita memahami bahawa: (i) Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan (ii) Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a'ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. 'Berpaling' maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka. Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:- Ibnu Kathir menyatakan: Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami'li Akhamil Quran]. Sa'id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur'an]. Dari aspek asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan, "Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu 'alihi wa Sallam tentang hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pun menjawab akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat "Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka" [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul]. Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit (berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27'U, 39°37'T) dan Huwayyit (25°35'U, 40°22'T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi). Di sini satu lagi kesalahan pihak yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak melihat akan fakta ini. Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara Daulah) berbeza dengan hukum ke atas kafir yang bukan warganegara Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal apabila menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang tinggal dalam negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah. Kafir zimmi, sebagaimana yang akan kami terangkan nanti, adalah terikat dengan hukum Islam, tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang tinggal di luar Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum Daulah (hukum Allah), maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum mereka (dengan hukum Allah), atau membiarkan mereka (tidak menghukum). Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak dibenarkan menghukum mereka mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum mereka mengikut hukum kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana kita telah berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan hukum dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah [5]:44, 45 & 47). Dalam banyak ayat lain lagi, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya, "Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):48]. Allah juga berfirman, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu" [TMQ an-Nisa (4):105]. Ayat-ayat ini berbentuk umum dan ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz "manusia" yang menerangkan kepada kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes atau ingin menghukum, maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang wajib dilaksanakan ke atas semua manusia (bukannya ke atas orang Islam sahaja) dan langsung tidak ada kebenaran/perintah dari Allah untuk kita (orang Islam) berhukum atau menghukum manusia dengan hukum selain hukum Allah. Kafir Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak, bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara. Di dalam kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menam¬pakkan syi'ar-syi'ar agama mereka di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum iaitu mua'malat dan uqubat (hudud, qisas, ta'zir dan mukhalafat), maka atas mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam sepenuhnya. Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa (4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim mahupun kafir zimmi. Teramat salahlah pandangan yang menyatakan bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah dan pengertian 'zimmi' itu sendiri bermaksud "perlindungan yang diberikan kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum Islam)". Status 'zimmi' (perlindungan) diberikan kepada mereka sebagai balasan dari 'jizyah' yang mereka bayar kepada Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, "Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk patuh" [TMQ at-Taubah (9):29]. Apabila orang-orang kafir zimmi menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana sabda baginda, "Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya." Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam sebuah hadis riwayat dari Anas, "Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang perempuan dengan dua buah batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab, 'sifulan atau sifulan' dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam bertanya, 'Apakah engkau telah menyepit kepalanya?' Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)". Dalam riwayat Muslim disebutkan, "...maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan menyerahkan jiwanya" Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, "Bahawa Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya". Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, "Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, "..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu Daud, 'mereka berdua adalah muhsan'. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan" [Nihayat Muhtaj VII:427]. Khatimah Wahai kaum Muslimin! Teramat banyak dan nyata sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menunjukkan bahawa hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke atas pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum dengan apa yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan Quran dan Sunnah bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang kufur adalah haram dan berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada Allah. Konsep dualisme hukum/undang-undang yang ada sekarang adalah sama sekali bercanggah dengan nas kerana Allah sama sekali tidak membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum dengan selain hukumNya. Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana yang Allah perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada sehingga kita mengambil hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati orang-orang kafir. Ingatlah akan firman Allah, "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik" [TMQ al-Ma'idah (5):49]. |
Vaporwave Neon Effect Photoshop Tutorial
-
The elegance of classic Renaissance sculptures and the vibrant neon colours
of the Vaporwave aesthetic are two contrasting styles you wouldn’t expect
to ...
1 week ago
No comments:
Post a Comment