Thursday, November 24, 2011

Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil

Sumber : E-Fatwa JAKIM

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

2.Umat Islam dilarang menyertai aktiviti Candlelight Vigil kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam.

Keputusan (English):

The Ruling on the Involvement of Muslims in the Candlelight Vigil Activity

Decision:

The 88th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 2nd October 2009 has discussed the Ruling on the Involvement of Muslims in the Candlelight Vigil Activity. The Conference decided that:

1. Islam prohibits its followers to be involved in any kind of rituals and religious practices of religions other than Islam.

2. Muslims are prohibited from participating in the Candlelight Vigil activity as it contains elements of similitude (tasyabbuh) with religions other than Islam that can affect the creed of the Muslims.

Keterangan/Hujah:

1.Di dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan kepercayaan. Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Bagaimanapun, api atau cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha. Amalan Candlelight Vigil khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.

2.Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam. Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-18, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

3.Rasulullah S.A.W turut melarang umatnya daripada melakukan sesuatu perkara yang bukan datangnya dari urusan agama, sepertimana disebutkan di dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-17, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Telah diberitakan kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi, diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf, diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan (mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

=======================================================================
 
Tapi ramai tokoh-tokoh ber"agama" yang menyertai himpunan memasang lilin nih.
 
 








Mana satu yang boleh menjadi ikutan ??? Majlis Fatwa atau mereka ini ???

Monday, November 21, 2011

Harga Kelapa Melampau Sampai RM3

Rujuk : http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2011&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Sebiji kelapa di Terengganu RM3


KUALA TERENGGANU - Ramai pengguna terutamanya suri rumah terkejut mendapati harga kelapa meningkat di antara RM2.50 hingga RM3 sebiji dan beberapa penjual mendakwa kenaikan itu kerana bekalan yang berkurangan.



Menurut mereka, harga kelapa mula meningkat sejak beberapa hari lalu dan santan segar pula dijual dengan harga RM9 satu kilogram.



Peniaga kedai runcit, Yusof Abdullah, 43, berkata, sebelum ini kelapa dijual antara RM1.20 dan RM2 sebiji, bergantung pada saiz dan dia terpaksa menjual dengan harga tinggi daripada biasa kerana kurang mendapat bekalan.



"Pembekal juga menjual dengan harga lebih tinggi berbanding biasa," katanya kepada Bernama.



Sementara itu, penjual nasi dagang Fatimah Awang, 46, berkata, harga nasi dagang sekarang dijual RM2.50 sebungkus kerana kenaikan harga bahan asasnya termasuk kelapa.



"Sekarang susah hendak cari nasi dagang dengan harga rendah seperti dahulu terutama di bandar ini," katanya.



Katanya, kenaikan harga kelapa itu bukan sahaja melibatkan peniaga nasi dagang tetapi juga peniaga makanan yang lain.



Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kenaikan harga kelapa, sementara pengarahnya Hasan Jusoh meminta pemborong kelapa menghubungi bahagian operasi FAMA untuk mendapatkan bekalan jika perlu.


===========================================================================

Harga santan sampai RM9.00. Wow. Amacam, ada sesiapa nak tanam kelapa ???

Thursday, November 10, 2011

Buluh Madu

Pada hari raya Aidil Adha yang lepas, dapat la merasa makan buluh madu fresh.

Jadi hari ni, cari la dalam internet pasal buluh madu. Jumpa la antaranya :

========================================================================

http://www.ns.gov.my/daerah/jelebu/index.php?option=com_content&view=article&id=166%3Abuluh-madu&catid=82%3Aberita-terkini&lang=bm

ULU BERANANG - Jabatan Pertanian Negeri Sembilan memperkenalkan satu lagi produk pertanian, buluh madu yang merupakan sumber makanan terbaru dan belum begitu dikenali di negara ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Salim Hassan berkata, tanaman buluh madu belum begitu meluas ditanam di negeri ini kerana ia masih baru dalam kalangan penduduk.
“Buluh madu ini merupakan sejenis sayuran mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikannya. Buluh madu mampu memberi nilai komersial kepada petani.
“Saya berharap dengan adanya program seumpama ini dapat mempromosikan buluh madu dalam kalangan penduduk khususnya masyarakat luar bandar yang lebih terdedah dengan kegiatan pertanian,” katanya.

Salim berkata demikian semasa berucap pada Program Semarak Ramadan di Masjid Kariah Ulu Branang, Lenggeng, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Adun Lenggeng, Mustafa Salim.


Program Semarak Ramadan itu merupakan program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Seremban dengan kerjasama Pejabat Daerah Seremban, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Beranang dan jawatankuasa Masjid Kariah Ulu Beranang.

Salim berkata, sebanyak 200 batang pokok buluh madu ditanam di sekitar kawasan berkenaan sebagai satu usaha mempromosikan tanaman berkenaan.

“Kita menggalakkan penduduk untuk menanam pokok buluh madu ini kerana ia mempunyai nilai komersial, boleh dijual ataupun ditanam untuk makan sendiri.

“Pada program ini juga, kita mengadakan acara gotong royong memasak buluh madu untuk dijadikan hidangan berbuka puasa bagi memberi peluang penduduk merasai sendiri keenakannya,” katanya.
Sumber - Sinar Harian
=============================================================================

KUALA NERANG 26 Mei - Umum mengetahui pokok buluh mempunyai pelbagai fungsi.
Tumbuhan yang banyak terdapat di merata tempat di negara ini bukan sahaja boleh dijadikan sebagai bahan kraf tangan tetapi batangnya turut digunakan untuk membuat lemang.
Malah masyarakat pada zaman dahulu menggunakan batang buluh untuk membuat rumah atau rakit serta sebagai senjata runcing.
Di sebalik segala kegunaan berkenaan, terdapat juga bahagian pokok tersebut yang boleh diambil untuk dijadikan makanan iaitu pucuk buluh yang muda dan masih lembut atau rebung.
Kebiasaannya rebung buluh digunakan sebagai masakan warisan yang menyelerakan seperti gulai rebung dan sayur lodeh di samping memeramnya untuk dijadikan jeruk.
Bagaimanapun tidak ramai yang menyedari potensi perniagaan yang boleh mendatangkan pulangan lumayan dengan mengusahakan tanaman buluh bagi mengeluarkan rebung.
Seorang pengusaha tanaman buluh madu, Abu Bakar Ismail, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak di sini boleh tersenyum bangga kerana hasil usahanya menanam tumbuhan itu kini mampu menghasilkan rebung kira-kira 300 kilogram sebulan.
Beliau mengusahakan kebun buluh madu dengan menanam sebanyak 150 pokok bersebelahan rumahnya sejak dua tahun lalu selepas mendapati penduduk tempatan amat menggemari masakan menggunakan rebung.
Jelasnya, dia memilih buluh jenis madu kerana selain boleh menghasilkan rebung yang lebih sedap ia juga sesuai dijadikan tanaman hiasan yang menarik.
"Saya menjual rebung kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar-pasar malam.
"Permintaan terhadap bahan makanan ini amat tinggi dan ia berpotensi luas untuk diusahakan secara berskala besar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Abu Bakar yang mengusahakan tanaman berkenaan bersama isterinya, Siti Leha Hashim, 65, dan dibantu tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses dengan harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses pula RM5 sekilogram.
Katanya, permintaan pasaran untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.
"Kebiasaannya di majlis-majlis kenduri, rebung ditempah untuk dicampurkan bersama masakan kari yang menambah kelazatannya," jelasnya yang menganggarkan telah meraih pendapatan RM30,000 sejak mengusahakan tanaman berkenaan.
Abu Bakar memberitahu, tanaman buluh tidak sukar dijaga jika mengikut kaedah yang betul kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.
"Ia cuma perlu dibaja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," katanya yang turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.
Mengenai rancangan masa panjang, Abu Bakar memberitahu dia kini menanam kira-kira 400 pokok buluh madu lagi di belakang rumahnya bagi memenuhi permintaan pasaran.
Katanya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan kepadanya oleh kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu selain menjadi model kepada orang lain untuk sama-sama menceburi tanaman berkenaan.
"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu dengan tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran rebung sahaja.
"Mungkin pada masa hadapan saya akan berurusan dengan pihak tertentu untuk menggunakan batang pokok ini sebagai bahan membuat perabot dan penyucuk sate," katanya.

Apakah keistimewaan buluh madu yang mendorong Abu Bakar Ismail untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan?



SETIAP individu pasti ingin berjaya dalam perniagaan yang dijalankan. Begitu juga dengan bekas pengusaha ladang kelapa sawit, Abu Bakar Ismail.
Abu Bakar, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang, Kedah berazam untuk melakukan sesuatu yang berbeza di samping berjaya melalui tanaman pokok buluh madu.
Sehubungan itu, dia mula mencari beberapa ladang buluh madu di sekitar daerah Padang Terap dan Kubang Pasu untuk melihat cara-cara pokok itu ditanam.
Buluh madu menghasilkan rebung madu yang enak selain buluhnya yang sesuai dijadikan produk kraftangan dan perabot.
Begitupun, hasrat warga emas ini hampir gagal apabila isterinya Siti Leha Hashim, 65, menganggap idea itu tidak masuk akal.
Namun, dengan keazaman yang menggunung, Abu Bakar tetap meneruskan tanaman itu di atas tanah seluas satu hektar di depan rumahnya tiga tahun lalu. Ia mengambil masa selama setahun sebelum buluh madu itu membesar dengan baik.
Menurut Abu Bakar, pada peringkat awal dia hanya menanam 50 batang pokok saja untuk melihat kesesuaian tanah dan persekitaran.
"Apabila mendapati semua pokok yang ditanam tumbuh dengan baik, saya mula menanam lebih banyak anak pokok buluh madu di sekeliling rumah," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sehingga tahun ini, Abu Bakar berjaya menanam lebih 650 pokok buluh madu di sekeliling rumahnya.
"Pada mulanya, saya menjual rebung ini kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar malam.
"Permintaan terhadap rebung meningkat memandangkan ia adalah makanan kesukaan ramai terutamanya dalam masakan tradisional Melayu," ujarnya
Abu Bakar yang dibantu oleh isteri dan tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses pada harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses RM5 sekilogram.
Katanya, permintaan untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.
"Kebiasaannya pada majlis-majlis kenduri, rebung madu merupakan antara pilihan yang dicampurkan bersama kari," jelasnya.
Justeru, dia sering mendapat tempahan rebung madu yang tinggi sehingga dengan pendapatannya mencecah RM30,000 sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, pokok buluh madu tidak sukar dijaga kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.
"Ia cuma perlu diberi baja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," kata Abu Bakar.
Selain menjual rebung, dia juga turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.


REBUNG madu antara menu yang popular pada majlis-majlis kenduri.


Apakah rancangan masa akan datangnya? Abu Bakar memberitahu, dia akan menggunakan segala keistimewaan yang ada pada buluh madu untuk mengembangkan perniagaannya.
Abu Bakar berkata, dia akan cuba mendapatkan mesin untuk memproses buluh madu itu untuk dijadikan lidi pencucuk sate dan buluh sebagai perabot.
Jelasnya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaannya itu. Pada masa yang sama, mahu menjadikan perniagaannya sebagai model kepada orang lain yang mahu menceburi bidang yang sama.
"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu.
"Mungkin pada masa depan saya akan membekalkan produk-produk yang berasaskan buluh madu selain menyediakan benih kepada mereka yang berminat," tambahnya.
Kepada yang berminat tentang buluh madu boleh menghubungi Abu bakar di talian 013-412 2489.

==========================================================================

Kalau baca, pendapatan pakcik tuh RM30,000. Tak tau la, setahun 30 ribu ker atau semenjak 3 tahun lalu RM30,000. Kalau setahun RM30 ribu, maknanya purata sebulan dalam RM2,500 pendapatan dia. Hahaha... Kalau pulak sejak 3 tahun lepas dia cuma dapat RM30 ribu, ini bermakna setahun dia dapat RM10 ribu la, atau purata sebulan RM833.00. Boleh tahan untuk satu bentuk tanaman yang tak perlukan perhatian yang banyak.

Tuesday, September 27, 2011

Hukum Islam Diwajibkan Keatas Semua Umat Manusia


Mukadimah tahun baru 2008 dibuka dengan berita sensasi senario politik negara yang melibatkan rakaman cakera video digital (DVD) skandal seks Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan seorang wanita. Ramai yang melihat keadaan ini sebagai suatu tamparan hebat kepada parti BN, khususnya di saat-saat pilihan raya yang semakin hampir. Naib Presiden MCA itu telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau adalah orang yang terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita yang diakuinya sebagai 'kawan baik'. Salinan DVD perlakuan seks itu sebelum ini diedarkan secara meluas di Johor, khususnya di Batu Pahat dan Muar. Bagaimanapun, di sebalik pengakuan terbuka tersebut, Menteri Kesihatan itu menegaskan, beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti [UM 01/01/08]. Namun, sehari selepas itu, Chua Soi Lek telah mengumumkan peletakan semua jawatannya sama ada di dalam kerajaan mahupun dalam MCA. Ini adalah kes yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana seorang menteri mengaku mengadakan hubungan seks luar nikah (berzina) secara terbuka.

Kisah skandal seks di kalangan menteri atau pun orang-orang politik bukanlah suatu yang baru di Malaysia, tidak kiralah samada ia melibatkan orang Islam atau bukan Islam. Sebab itulah kisah Chua Soi Lek ini, walaupun agak menggemparkan, tidaklah memeranjatkan. Apa yang 'baru' di sini ialah pengakuan secara terbuka yang dibuat oleh Soi Lek. Juga, suatu yang baru apabila ramai penyokong Soi Lek yang memberikan sokongan dan dorongan kepada beliau, malah beliau dilayan sebagai seorang 'hero' kerana pengakuannya ini. UMNO bahagian Labis awal-awal lagi turut serta dalam memberi semangat dan sokongan padu kepada beliau, diikuti pula oleh tidak kurang ramainya ahli-ahli politik BN, termasuk menteri yang memuji tindakan berani Soi Lek ini. Masya Allah! Seorang penzina yang telah mengaku secara terang-terang melakukan perbuatan kejinya, kini dianggap dan dilayan sebagai seorang hero, hanya kerana 'pengakuan ikhlas dan berani' yang dibuatnya. Di manakah pertimbangan manusia, khususnya mereka yang beragama Islam di dalam masalah ini? Ada juga di kalangan umat Islam yang melihat bahawa isu ini hanyalah satu kesalahan moral atau kesalahan peribadi orang yang terlibat kerana apa yang dilakukan oleh Soi Lek (berzina) itu 'dibolehkan' oleh agamanya (tidak ada hukuman). Pandangan ini sejajar dengan pandangan Perdana Menteri Malaysia yang menyifatkan '...apa yang berlaku adalah berkaitan (hal) peribadi beliau' [UM 02/01/08].

Pengakuan zina, tidak kiralah dilakukan oleh siapa pun, baik seorang menteri atau pun rakyat, baik lelaki ataupun perempuan, baik Muslim ataupun non-Muslim, adalah satu perkara yang wajib diperhatikan oleh setiap Muslim, apatah lagi pemerintah. Dalam pandangan Islam, zina adalah satu perbuatan yang keji dan merupakan satu kesalahan yang wajib dihukum (hudud), tidak kiralah pelakunya seorang yang berpangkat besar atau kecil atau seorang yang tidak berpangkat sekalipun. Pemerintah malah wajib memerhatikan hal ini dengan lebih serius kerana mereka adalah orang yang sepatutnya menjalankan hukum (hudud) ke atas penzina ini. Malangnya pemerintah hanya menganggap kes zina ini adalah kesalahan moral ataupun hal peribadi sahaja! Sebahagian besar umat Islam juga mempunyai tanggapan dan pemahaman yang salah tentang (hukuman) zina yang dilakukan oleh orang kafir, sehingga mereka tidak memandang kes ini wajib diselesaikan dengan hukum Islam. Sautun Nahdhah kali ini akan menjernihkan pemikiran mereka yang telah terpesong dari kefahaman yang sebenar menurut Islam.

Apakah Orang Kafir Terkena Hukum Islam?

Persoalan sama ada orang kafir terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak pernah timbul dalam benak kaum Muslimin generasi awal mahupun generasi setelahnya. Kaum Muslimin dahulu benar-benar faham bahawa satu-satunya hukuman yang wajib ke atas manusia adalah hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan Maha Menghukum. Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam berabad-abad lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah kuffar, maka di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem kufur/sekular penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, pemimpin sekular yang telah dilantik oleh kuffar penjajah ini tetap meneruskan undang-undang kufur penjajah di samping sedikit penerapan undang-undang Islam dalam hal ibadat dan kekeluargaan sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah golongan ulama telah terbiasa dan 'terbius' dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala orang-orang kafir dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir. Betapa terpesongnya pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap terpakai ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak boleh dikenakan undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang ada terus 'dikuasai' oleh pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas orang-orang kafir, bukan setakat kerana ia tidak terpakai, malah tidak boleh dilaksanakan kerana perlu 'menjaga hati' orang kafir. Inilah di antara kejayaan kuffar Barat di dalam memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat Islam.

Setelah sistem demokrasi-pilihan raya diperkenalkan oleh Barat ke atas negeri-negeri umat Islam dan setiap orang kafir diberi hak mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan ulama Islam terjerat sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan, mereka mesti mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka 'hati' orang kafir perlu dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam, maka usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir bahawa undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka. Jadi, tidak hairanlah jika ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun sayangkan Islam, namun oleh kerana sudah lama hidup dalam sistem sekular di mana racun ini sudah menjadi sebati dalam diri mereka, memahami bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam semata-mata, manakala orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi alternatif. Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta'zir hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman Allah,

"Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil" [TMQ al-Maidah (5):42].

Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima hukum hudud, qisas dan ta'zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum mereka (hukum kufur). Lafaz "fa in ja'uka fahkum bainahum au a'ridh anhum" (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai 'pilihan' yang diberi kepada 'orang kafir' sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orang kafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum Islam.

Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri, kita memahami bahawa:

(i) Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan
(ii) Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a'ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. 'Berpaling' maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.

Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-

Ibnu Kathir menyatakan: Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami'li Akhamil Quran]. Sa'id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur'an].

Dari aspek asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan,

"Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu 'alihi wa Sallam tentang hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pun menjawab akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat "Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka" [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul].

Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit (berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27'U, 39°37'T) dan Huwayyit (25°35'U, 40°22'T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).

Di sini satu lagi kesalahan pihak yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak melihat akan fakta ini. Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara Daulah) berbeza dengan hukum ke atas kafir yang bukan warganegara Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal apabila menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang tinggal dalam negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah. Kafir zimmi, sebagaimana yang akan kami terangkan nanti, adalah terikat dengan hukum Islam, tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang tinggal di luar Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum Daulah (hukum Allah), maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum mereka (dengan hukum Allah), atau membiarkan mereka (tidak menghukum). Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak dibenarkan menghukum mereka mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum mereka mengikut hukum kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana kita telah berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan hukum dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah [5]:44, 45 & 47).

Dalam banyak ayat lain lagi, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,

"Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):48].

Allah juga berfirman,

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu" [TMQ an-Nisa (4):105].

Ayat-ayat ini berbentuk umum dan ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz "manusia" yang menerangkan kepada kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes atau ingin menghukum, maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang wajib dilaksanakan ke atas semua manusia (bukannya ke atas orang Islam sahaja) dan langsung tidak ada kebenaran/perintah dari Allah untuk kita (orang Islam) berhukum atau menghukum manusia dengan hukum selain hukum Allah.

Kafir Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam

Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak, bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara. Di dalam kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menam¬pakkan syi'ar-syi'ar agama mereka di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum iaitu mua'malat dan uqubat (hudud, qisas, ta'zir dan mukhalafat), maka atas mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam sepenuhnya. Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa (4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim mahupun kafir zimmi.

Teramat salahlah pandangan yang menyatakan bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah dan pengertian 'zimmi' itu sendiri bermaksud "perlindungan yang diberikan kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum Islam)". Status 'zimmi' (perlindungan) diberikan kepada mereka sebagai balasan dari 'jizyah' yang mereka bayar kepada Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk patuh" [TMQ at-Taubah (9):29].

Apabila orang-orang kafir zimmi menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana sabda baginda,

"Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya."
Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam sebuah hadis riwayat dari Anas,

"Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang perempuan dengan dua buah batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab, 'sifulan atau sifulan' dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam bertanya, 'Apakah engkau telah menyepit kepalanya?' Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)".

Dalam riwayat Muslim disebutkan,

"...maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan menyerahkan jiwanya"

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

"Bahawa Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya".
Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, "Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, "..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu Daud, 'mereka berdua adalah muhsan'. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan" [Nihayat Muhtaj VII:427].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Teramat banyak dan nyata sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menunjukkan bahawa hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke atas pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum dengan apa yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan Quran dan Sunnah bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang kufur adalah haram dan berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada Allah. Konsep dualisme hukum/undang-undang yang ada sekarang adalah sama sekali bercanggah dengan nas kerana Allah sama sekali tidak membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum dengan selain hukumNya. Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana yang Allah perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada sehingga kita mengambil hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati orang-orang kafir. Ingatlah akan firman Allah,

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik" [TMQ al-Ma'idah (5):49].

Apakah Hudud Hanya Untuk Orang Islam ?

SUMBER DARI HIZBUT TAHRIR


Sebagaimana dijangkakan, isu hudud terus dimainkan oleh parti sekular UMNO di dalam usaha mereka menawan Kuala Terengganu di dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung nanti. Nampaknya 'perangkap' yang dipasang oleh Khairy Jamaluddin dengan mengadakan debat dengan Husam Musa telah mengena. Maka, hudud kini menjadi senjata utama kelompok sekular UMNO di dalam usaha mereka mempertahankan lagi sistem sekular yang mereka terapkan selama ini. Alangkah beraninya mereka mempermainkan hukum Allah dengan cubaan memperdebatkan isu ini, bukannya berusaha untuk menerapkannya, walhal mereka adalah golongan yang memerintah, yang mana di bahu merekalah terletaknya kewajiban untuk menerapkan hududullah.

Ini dari satu pihak. Di pihak yang lain, pembangkang kini dilihat tersepit dengan perangkap yang dipasang geng sekular UMNO, sehingga banyak kenyataan terpaksa dikeluarkan oleh mereka untuk 'menentang' propaganda jahat UMNO di dalam mempermainkan isu ini.  Sedikit sebanyak, pakatan pembangkang yang merangkumi parti kafir DAP terpaksa membuat keputusan di dalam usaha kompromi mereka. Jumlah 11% pengundi kafir yang ada di Kuala Terengganu mesti diambil kira, selain 'hubungan mesra' sesama pakatan yang mesti dijaga. Inilah masalah yang melanda apabila berpakat atau kompromi dengan kelompok kufur dan sekular. Maka perjuangan dan hukum Allah juga turut menjadi bahan kompromi.

Setelah diasak dari segenap penjuru oleh parti sekular pemerintah, maka keluarlah kenyataan yang amat menghiris hati umat Islam lainnya apabila hudud dikatakan bukanlah menjadi keutamaan pembangkang. Luka pedih di hati terus berdarah apabila hudud dikatakan pula hanya untuk orang Islam dan tidak terkena kepada orang kafir. Semua kenyataan ini timbul apabila hukum Allah itu ingin dilaksanakan tertakluk kepada syarat bahawa ia 'mesti difahami dan diterima' oleh orang kafir terlebih dahulu. Apabila hati orang kafir dijaga lebih dari menjaga hukum Allah, maka terkebelakanglah hukum Allah dan hati orang kafir menjadi keutamaan. Alasan 'maslahat' biasanya diberikan, walhal tidak akan pernah ada maslahat apabila hukum Allah dipinggirkan.

Sesungguhnya pelaksanaan hukum Allah ke atas umat manusia tidak ada kompromi sedikit pun. Ia wajib dan wajiblah adanya sampai bila pun dan di mana pun.

Malangnya apabila bercakap tentang pelaksanaan hukum Allah, umat Islam terjatuh ke dalam kecelaruan yang amat dalam, apabila mereka berkata ia hanya akan dilaksanakan apabila orang kafir sudah faham dan bersedia. Walhal semasa kuffar penjajah datang ke negara kita dan menerapkan hukum kufur mereka, kuffar penjajah tidak pernah bertanya apakah orang Islam sudah bersedia atau tidak untuk menerima hukum kufur. Kuffar penjajah tidak pernah tanya dan tidak pernah peduli orang Islam terima atau tidak atau bersedia atau tidak, mereka hanya terus menerapkan sahaja hukum kufur mereka. Anehnya, bila umat Islam ingin menerapkan hukum Allah, orang kafir mesti dipastikan memahami dan bersedia terlebih dahulu. Jadinya, jika orang kafir tidak pernah faham dan tidak pernah bersedia, maka hukum Allah tidak akan dapat dilaksanakan sampai bila pun?

Sungguh pedih hati apabila melihat adanya umat Islam yang cuba mengambil hati orang kafir di dalam melaksanakan hukum Allah, walau apa alasan mereka sekalipun. Allah SWT telah berfirman,

"Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dizahirkan atas seluruh agama yang lain sekalipun orang-orang musyrik membencinya" [TMQ At-Taubah (9):33].

Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa Islam wajib dizahirkan, walaupun orang kafir membencinya sekalipun. Dan Islam hanya akan zahir apabila hukum Allah atau hudud Allah diterapkan. Jadi, alasan bahawa orang kafir tidak faham atau tidak bersedia langsung tidak boleh diterima, kerana Allah menyatakan, walaupun orang kafir membencinya sekalipun, Islam wajib dizahirkan.

Bertambah pedih, apabila hudud Allah hanya dikatakan terkena kepada orang Islam sahaja, manakala orang kafir tidak terkena hudud. Jika kita adalah pemerintah, dan jika kita tidak menerapkan hukum Allah, walaupun ke atas orang kafir sekalipun, maka hukum apakah yang akan kita terapkan ke atas mereka? apakah kita akan menerapkan hukum selain Allah ke atas mereka, walhal Allah SWT berfirman,

"Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?" [TMQ al-Ma'idah (5):50].

"...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir" [TMQ al-Ma'idah (5):44].

"...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim" [TMQ al-Ma'idah (5):45].

"...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik" [TMQ al-Ma'idah (5):47].

Kepada mereka yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak ta'sub sesama manusia, maka fikirkanlah sebaik-baiknya akan hal ini. Semoga Allah SWT memberikan antum kesedaran dan kekuatan agar tetap teguh dengan perjuangan menegakkan agama Allah dan tidak menggadaikan perjuangan sedikitpun.

Apakah Orang Kafir Terkena Hukum Islam?

Persoalan sama ada orang kafir terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak pernah timbul dalam benak kaum Muslimin generasi awal mahupun generasi setelahnya. Kaum Muslimin dahulu benar-benar faham bahawa satu-satunya hukuman yang wajib ke atas manusia adalah hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan Maha Menghukum. Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam berabad-abad lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah kuffar, maka di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem kufur/sekular penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, pemimpin sekular yang telah dilantik oleh kuffar penjajah ini tetap meneruskan undang-undang kufur penjajah di samping sedikit penerapan undang-undang Islam dalam hal ibadat dan kekeluargaan sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah golongan ulama telah terbiasa dan 'terbius' dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala orang-orang kafir dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir. Betapa terpesongnya pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap terpakai ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak boleh dikenakan undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang ada terus 'dikuasai' oleh pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas orang-orang kafir, bukan setakat kerana ia tidak terpakai, malah tidak boleh dilaksanakan kerana perlu 'menjaga hati' orang kafir. Inilah di antara kejayaan kuffar Barat di dalam memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat Islam.

Setelah sistem demokrasi-pilihan raya diperkenalkan oleh Barat ke atas negeri-negeri umat Islam dan setiap orang kafir diberi hak mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan ulama Islam terjerat sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan, mereka mesti mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka 'hati' orang kafir perlu dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam, maka usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir bahawa undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka. Jadi, tidak hairanlah jika ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun sayangkan Islam, namun oleh kerana sudah lama hidup dalam sistem sekular di mana racun ini sudah menjadi sebati dalam diri mereka, memahami bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam semata-mata, manakala orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi alternatif. Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta'zir hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman Allah,

"Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil" [TMQ al-Maidah (5):42].

Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima hukum hudud, qisas dan ta'zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum mereka (hukum kufur). Lafaz "fa in ja'uka fahkum bainahum au a'ridh anhum" (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai 'pilihan' yang diberi kepada 'orang kafir' sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orang kafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum Islam.

Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri, kita memahami bahawa:

(i) Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan

(ii) Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a'ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. 'Berpaling' maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.

Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-

Ibnu Kathir menyatakan: Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami'li Akhamil Quran]. Sa'id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur'an].

Dari aspek asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan,

"Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu 'alihi wa Sallam tentang hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pun menjawab akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat "Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka" [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul].

Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit (berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27'U, 39°37'T) dan Huwayyit (25°35'U, 40°22'T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).

Di sini satu lagi kesalahan pihak yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak melihat akan fakta ini. Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara Daulah) berbeza dengan hukum ke atas kafir yang bukan warganegara Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal apabila menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang tinggal dalam negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah. Kafir zimmi, sebagaimana yang akan kami terangkan nanti, adalah terikat dengan hukum Islam, tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang tinggal di luar Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum Daulah (hukum Allah), maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum mereka (dengan hukum Allah), atau membiarkan mereka (tidak menghukum). Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak dibenarkan menghukum mereka mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum mereka mengikut hukum kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana kita telah berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan hukum dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah [5]:44, 45 & 47).

Dalam banyak ayat lain lagi, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,

"Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu" [TMQ al-Maidah (5):48].

Allah juga berfirman,

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu" [TMQ an-Nisa (4):105].

Ayat-ayat ini berbentuk umum dan ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz "manusia" yang menerangkan kepada kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes atau ingin menghukum, maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang wajib dilaksanakan ke atas semua manusia (bukannya ke atas orang Islam sahaja) dan langsung tidak ada kebenaran/perintah dari Allah untuk kita (orang Islam) berhukum atau menghukum manusia dengan hukum selain hukum Allah.

Kafir Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam

Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak, bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara. Di dalam kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menam¬pakkan syi'ar-syi'ar agama mereka di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum iaitu mua'malat dan uqubat (hudud, qisas, ta'zir dan mukhalafat), maka atas mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam sepenuhnya. Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa (4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim mahupun kafir zimmi.

Teramat salahlah pandangan yang menyatakan bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah dan pengertian 'zimmi' itu sendiri bermaksud "perlindungan yang diberikan kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum Islam)". Status 'zimmi' (perlindungan) diberikan kepada mereka sebagai balasan dari 'jizyah' yang mereka bayar kepada Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk patuh" [TMQ at-Taubah (9):29].

Apabila orang-orang kafir zimmi menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana sabda baginda, "Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya." Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam sebuah hadis riwayat dari Anas, "Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang perempuan dengan dua buah batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab, 'sifulan atau sifulan' dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam bertanya, 'Apakah engkau telah menyepit kepalanya?' Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)". Dalam riwayat Muslim disebutkan, "...maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan menyerahkan jiwanya"

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

"Bahawa Rasulullah Sallallahu 'alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya".
Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, "Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, "..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu Daud, 'mereka berdua adalah muhsan'. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan" [Nihayat Muhtaj VII:427].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Teramat banyak dan nyata sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menunjukkan bahawa hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke atas pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum dengan apa yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan Quran dan Sunnah bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang kufur adalah haram dan berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada Allah. Konsep dualisme hukum/undang-undang yang ada sekarang adalah sama sekali bercanggah dengan nas kerana Allah sama sekali tidak membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum dengan selain hukumNya. Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana yang Allah perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada sehingga kita mengambil hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati orang-orang kafir. Ingatlah akan firman Allah,

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik" [TMQ al-Ma'idah (5):49].



--
Link :

Your job won't take care of you when you are sick. Your friend will. - Stay In Touch -

Friday, September 9, 2011

Dah nak kena bayar pulak

Bermula 15hb Ogos 2011 akan datang, semua pembekal telekomunikasi di Malaysia akan mengenakan GST 6% keatas semua pembelian kad prabayar samada untuk tambah nilai atau untuk pembelian baru.

Adalah difahamkan bahawa pemilik telefon pasca-bayar sememangnya telah pun membayar caj 6% yang dimasukkan kedalam bil yang diterima setiap bulan.

Bayaran tambahan ini walaupon dilihat kecil, tapi ia membebankan terutama kepada pelajar dan mereka yang tinggal dikampung-kampung yang berpendapatan kecil. Ini memandangkan biasanya mereka yang tinggal dikampung yang jauh biasanya berpendapatan kecil.

Persoalan lain, adakah 6% itu berbaloi dengan servis yang diberikan ??

Dengan servis yang selalunya jem, terutama dimusim perayaan, dan servis yang bukan-bukan yang tidak dapat dihentikan oleh penyedia-penyedia sistem telekomunikasi ini. Sebagai contoh : untuk mendengar lagu raya, kemudian akan dicaj dengan potongan yang bukan-bukan, biasanya tidak dapat dihentikan oleh penyedia sistem telekomunikasi.

Ini semua sepatutnya diperbetulkan dahulu, sebelum mengenakan caj yang membebankan.

Begitu juga, apa kata di buat penambahbaikan keatas sistem pra bayar yang ada sekarang. Misalnya, hanya menutup kemudahan membuat panggilan jika tiada baki lagi yang tinggal. Jika masih ada lagi baki, biarkanlah pengguna untuk membuat panggilan, walaupon sesudah tiga bulan.

Baru la rasa berbaloi.

Ini baki masih ada RM60 tapi sudah tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan. Ini dah jadi satu sistem yang zalim.

Walaupon perkhidmatan tidak digunakan, tetapi pelanggan tetap kena bayar. Zalim.

Apa kata kita pulaukan mereka ini, kita pakai skype. Antara skype dengan skype, tiada kena bayar.

Marilah kita berubah.

Monday, June 13, 2011

Closure of sales for Public Ittikal

Public Ittikal akan ditutup penjualannya bermula dari 16 Jun 2011 atau apabila jualan unitnya mencecah sebanyak 3.35 bilion.

Akan tetapi proses pelaburan yang menggunakan Direct Debit atau arahan tetap pelaburan masih tetap diterima.

Public Ittikal memberikan perlindungan takaful secara percuma kepada pemegang-pemegang unitnya yang melebihi 5,000. Dimana setiap satu unit dalam Ittikal bersamaan satu ringgit dalam Takaful.

Friday, March 25, 2011

Sah! Kopi Itu Bercampur Gelatin Babi - Jabatan Agama Johor

Johor Bahru: Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.

Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.

“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.

“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.

“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,”
katanya.

Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin.

“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ.

“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera.


“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera.

“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan.

“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya. -hm


==========================================================================

Dalam hal ini siapakah yang bersalah atau boleh dipersalahkan ??


1) Tokey kedai yang bukan beragama Islam ??? Memang beliau bukan beragama Islam, memang beliau makan benda babi tu. Salahkah beliau tak ambil lesen halal JAKIM ??


2) Adakah JAKIM boleh dipersalahkan ? Tokey kedai kopi tu yang tak mintak lesen pasal nak meniaga makanan haram. Takkan jakim nak halang orang bukan Islam meniaga makanan haram ??


3) Atau bolehlah meletakkan kesalahan itu kepada orang Melayu yang bangang yang nak jugak makan kat tempat yang bukan-bukan. 


Sekarang ni pon orang Melayu dah macam orang Cina, suka menda-menda makan nih. Pau Kuala Kangsar la, Nasik Ayam Bukit Bintang la.

Monday, March 21, 2011

Tanam Kuchai Keliling Rumah

UTARA

ARKIB : 10/01/2009

Kucai dalam pasu bantu Sarina


Sarina Che Bai mengusahakan tanaman sayuran kucai mengunakan pasu bunga di keliling rumahnya di Kampung Keda, Ulu Bakai, Baling, Kedah. – Gambar ismail kamadin


BALING 9 Jan. - Jika disebut nama Allium Tubarosa Rottler tentu ramai yang tidak mengetahuinya, jauh sekali menyedari tanaman itu rupa-rupanya lebih dikenali di negara ini sebagai kucai.
Tanaman daripada keluarga Liliacea itu cukup popular khususnya di kalangan masyarakat Melayu kerana ia menjadi penyedap makanan seperti cucur udang dan mihun goreng selain mempunyai khasiat tersendiri.
Itulah kucai, sayur penting walaupun asalnya tanaman yang mudah diperoleh dan paling banyak ditanam di pinggir rumah.
Pun begitu, bagi Sarina Che Bai, 38, dari Kampung Keda Ulu Bakai, Mukim Bakai dekat sini, tanaman tersebut menjadi pilihan untuk ditanam di kawasan rumah yang didiami.
Menariknya, Sarina tidak sebagaimana kaum hawa lain menjadikan pasu hanya untuk tanaman bunga, tetapi dia menanam kucai yang subur menghiasi laman rumahnya.
Wanita yang mempunyai lima orang anak itu berkata, daripada 20 hingga 50 pasu kucai, dia memperluaskan lagi tanaman tersebut dari masa ke semasa.
Kata Sarina, berkat usahanya itu mendapat perhatian pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk membantunya menambah tanaman kucai di dalam pasu.
Hasilnya, kini tanaman kucai Sarina telah mencecah hampir 1,000 pasu sehinggakan tidak ada lagi ruang kosong di sekeliling rumahnya.
Menurut Sarina, dia dan keluarganya mengusahakan tanaman kucai itu sejak enam tahun lalu, pada mulanya hanya sekadar untuk dijadikan sumber sayur -sayuran harian.
Tambahnya, kucai yang ditanamnya dijual dengan harga RM4 sekilogram dan pada musim tertentu dia menghasilkan antara lima hingga 10 kilogram kucai sehari.
Isteri kepada Mohd. Zainol Jaafar, 50, itu seakan tidak mempercayai usaha menanam kucai ini berjaya menarik perhatian penduduk lain dan peniaga runcit yang sering datang membeli hasil tanamannya.
Ia membantu keluarga Sarina menambah sumber pendapatan walaupun ramai yang pada mulanya tidak yakin usaha tersebut akan berhasil.
Sarina kini menumpukan sepenuhnya kepada tanaman kucai dan bukan lagi
menjadikannya sebagai tanaman sampingan, malah pendapatan diperoleh hasil daripada tanaman tersebut mencukupi untuk menampung keluarga.

Tuesday, February 15, 2011

Bolehkah untuk menghimpun emas ?

Ada sesiapa yang tidak suka kepada emas ?? Zaman sekarang, emas yang diharamkan kepada lelaki, tetapi kaum lelakilah yang selalunya berlebih-lebihan dalam hal ini.

Sekarang ini, berbagai cara boleh didapat untuk mengumpul emas. Ada melalui belian di akaun emas. Seperti akaun Mayban Gold atau Public Gold. Yang dengar kedua-dua cara ini hanya emas atas kertas sahaja. Emas sebenarnya tidak wujud.

Ada juga yang membeli bullion atau jongkong emas yang beratnya sekitar 100gm. Ada juga yang membeli dinar emas. Walau apa pun cara pembelian emas itu, Ianya adalah dengan tujuan untuk mengumpul emas dengan harapan harga emas akan melambung naik pada masa hadapan.

Apakah hukumnya dalam Islam ???

Allah telah berfirman dalam surah At-Taubah 9:34-35, Mafhumnya "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu."


Jadi persoalan disini adalah, adakah dibenarkan untuk menghimpun emas untuk tujuan menunggu sehingga harganya naik lalu dijual ?

Adalah difahamkan menyimpan emas seperti dalam ayat diatas adalah bermaksud, menghimpunkan emas tanpa tujuan tertentu (hajat). Iaitu menyimpan agar emas itu tidak beredar dipasaran atau menyimpan untuk membuat profit taking iaitu menunggu sehingga harganya naik kemudian dijual.

Akan tetapi jika menyimpan untuk satu tujuan tertentu adalah tidak mengapa. Sebagai contoh untuk membina rumah, menghimpun modal untuk meniaga ataupon untuk tujuan pergi haji ini bukanlah menghimpun sebaliknya dianggap sebagai menabung.

Ini boleh dilihat didalam beberapa hadis, antaranya :

"…Rasulullah saw pernah membeli kurma dari Bani Nadhir dan menyimpannya untuk perbekalan setahun buat keluarga…" (Hadis riwayat Bukhari);

"Simpanlah sebagian dari hartamu untuk kebaikan masa depan kamu, karena itu jauh lebih baik bagimu." (Hadis riwayat Bukhari).


Wallahualam.


Monday, February 7, 2011

Dulu pernah cerita pasal kelapa

Pada tahun 2008 saya pernah menyiarkan artikal dari pejabat pertanian manjung perak. Lihat sini.

Pada ketika itu, tidak terfikir pon bahawa harga buah kelapa (bukan kelapa sawit) akan meningkat sehingga RM1.80 sebiji, dan harga santan boleh mencecah RM5.00 sekilo. Seorang sahabat sahabat memberitahu semalam, bahawa ditempatnya harga sekilo santan mencecah sehingga RM9.00.

Ada yang mengatakan ini adalah kerana kebanyakan pekebun sekarang sudah menukar tanaman mereka kepada kelapa sawit. Ini menyebabkan bekalan kelapa semakin kurang dipasaran. Seorang sahabat yang lain ada bercerita, bagaimana suatu waktu dulu, di Bagan Datoh amat terkenal dengan kebun kelapa dan kopra (sampai sekarang saya tak tau apa itu kopra). Tetapi sekarang, kalau pergi ke Bagan Datoh, hanya yang ada kelapa sawit sahaja. Saudara kepada sahabat saya itu juga berasal dari pekebun kelapa, tetapi telah menukarkan kebunnya menjadi kebun kelapa sawit beberapa tahun yang lalu. Ini kerana dikatakan pada masa itu harga kelapa sawit agak tinggi berbanding kelapa.

Teringat sewaktu kecil saya dahulu, apabila kekedai untuk membeli kelapa parut, harganya hanya dalam RM0.30 ke RM0.40 sahaja sebiji. Sekarang saya tak tau, dipasar-pasar biasanya peniaga terus menjual santan sahaja. Semakin ramai orang yang malas untuk meramas kelapa parut agaknya.

Saya sendiri kadang-kadang hanya menggunakan santan kotak, konon untuk mengurangkan kolestrol dalam makanan.

Cargo Bridge

Currency Converter